Saturday, December 13, 2014

Rahsia Dapat Tunai Haji Banyak Kali



Menurut laporan akhbar, bakal jemaah haji Malaysia terpaksa menunggu tempoh giliran sehingga 60 tahun untuk menunaikan ibadah haji jika mereka mendaftar pada Ogos lalu berdasarkan 1,508,719 bakal haji yang memohon bagi mengerjakan haji.

Kuota haji rasmi negara yang diperoleh daripada Kerajaan Arab Saudi sebanyak 0.1 peratus daripada jumlah penduduk iaitu kira-kira 22,320, kini dikurangkan 20 peratus sejak tahun 2013. Tabung Haji juga menerima 70,000 rayuan oleh bakal jemaah supaya dipercepatkan giliran.
Namun, dalam kegusaran bimbang tidak terpilih ada segelintir yang diberi peluang berulang kali menunaikan haji dalam tempoh terdekat pada usia muda. Kata peribahasa, 'tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa tahu'.
Itulah tuah dan rezeki bagi Azizi Salleh, 41 tahun, yang dapat peluang menunaikan haji pada tahun 1998, 2008 dan musim haji yang lalu. Pemergian beliau ke Tanah Suci terjadi atas beberapa sebab yang memihak kepadanya.
Menurut sahabat beliau, Mohd Taufek Mohd Noor, kemurahan rezeki Azizi untuk dijemput sebagai tetamu Allah SWT mungkin disebabkan sikap taat kepada ibu bapa, sentiasa menjaga ibadat fardu dan rajin melakukan amalan sunat sejak remaja.
Azizi pertama kali menunaikan haji kerana menemani bapanya kerana ibunya yang sepatutnya pergi bersama ditimpa kemalangan menyebabkan kakinya patah kira-kira dua bulan sebelum tarikh berangkat.
Kali kedua sebagai memenuhi wasiat bapa menunaikan badal haji untuk neneknya.
Baru-baru ini beliau menemani isterinya, Hafidah Ibrahim, 38, yang terpilih menunaikan haji sebagai mahram. Kali ini beliau membuatkan badal haji untuk arwah bapa kawannya.
Beliau bersyukur kerana walaupun perlu membuat rayuan, niat menunaikan haji atas beberapa sebab dipermudahkan Allah SWT.
Cuti tanpa gaji
Baginya, walaupun terpaksa mengambil cuti tanpa gaji, itu sedikit pun tidak memberi kesan kepadanya kerana yakin dengan rezeki ditentukan Allah SWT kepada setiap hamba-Nya. Peluang menunaikan haji tidak akan disia-siakan.
Justeru, bagi yang berniat untuk menunaikan haji, sentiasa menanam keazaman serta berusaha bersungguh-sungguh supaya hasrat melaksanakan rukun Islam kelima itu dimakbulkan dan dapat menjejakkan kaki di Tanah Suci.
Pada masa sama, hendaklah mempertingkatkan diri dengan memperbanyakkan amalan sunat selain menjaga ibadah fardu kerana apabila kita dekat kepada Allah SWT, dengan izin-Nya apa yang kita harapkan bakal dipermudahkan.
Seperti Azizi, beliau mengambil berat amalan wajib di samping mengamalkan zikir serta membiasakan tadarus al-Quran bersama anaknya. Beliau banyak menimba ilmu pengetahuan dan berguru dengan bekas Mufti Negeri Sembilan, Datuk Sheikh Mohd Murtadza Sheikh Ahmad.
Pengalaman dilalui ketika berwukuf di Arafah benar-benar meninggalkan kesan di hati Azizi yang sudah biasa membaca surah Yasin dan berzikir pada malam Jumaat. Disebabkan wukuf kali ini jatuh pada hari Jumaat, beliau berhasrat untuk berehat dan tidak membaca surah Yasin.
Ujian ketika wukuf di Arafah
Malangnya, beliau tidak dapat melelapkan mata dan berasa tidak selesa kerana badannya terasa panas. Oleh itu, beliau mengambil keputusan untuk membaca surah Yasin serta berzikir memuji kebesaran Allah SWT.
Barulah dirinya berasa sedikit tenang dan dapat melelapkan mata berehat sebelum terjaga tengah malamnya untuk beribadah sementara menanti keesokan hari bagi meneruskan ibadah serta menyempurnakan rukun haji.
Begitulah keistimewaan dirasakan mereka yang menjadikan ibadah sunat sebagai amalan, apabila tidak melakukannya akan menimbulkan rasa kurang senang di hati mereka. Akhirnya, amalan baik itu akan diteruskan kerana kelebihannya ternyata memberi ketenangan kepada jiwa.

via http://www.bharian.com.my/node/23106

No comments:

Post a Comment